Sepuluh Muharram dalam bahasa Arab, disebut Asyura. Orang Melayu Kelantan menyebutnya Sura. Di beberapa daerah di Indonesia misalnya, hari itu dirayakan dengan membuat bubur merah-putih. Putih mencerminkan Hasan dan merah melambangkan Husein. Seperti dalam sejarah, Saidina Hasan pernah melakukan perdamaian dengan penguasa demi kebaikan umat. Tetapi malangnya, perdamaian itu dikhianati oleh elit-penguasa itu sendiri. Putih adalah lambang perdamaian.
Sementara Saidina Husein melihat pengkhianatan itu segera bangkit melawan pemerintah lalu terjadilah peristiwa tragis iaitu Tragedi Karbala. Padang pasir Karbala memerah dengan darah syuhada. Merah adalah lambang kesyahidan. Agak sukar untuk menemukan orang tua yang dapat menjelaskan asal-usul tradisi itu. Para ulama yang ditanya, hanya menjelaskan tentang disunatkannya puasa pada hari itu. Mengapa? Kerana hari itu adalah hari pertolongan Allah kepada para nabi dalam menghadapi orang-orang zalim.
Pada hari Asyura, Ibrahim lepas dari api Namrud, Yunus keluar dari perut ikan, Musa bebas dari hambatan Firaun, dan Muhammad SAW selamat dari racun orang Yahudi. Kononnya, masih kata para ulama, ketika Nabi Muhammad SAW ke Madinah, baginda menemukan orang Yahudi berpuasa pada hari itu untuk mengenang kemenangan Musa. 'Aku lebih berhak untuk berpuasa daripada kalian,' kata Nabi SAW kepada orang-orang Yahudi. Maka kaum mukmin yang saleh di Malaysia selalu melakukan puasa Asyura sebagai ungkapan syukur atas kemenangan para Nabi.
Sebahagian Muslim di Mesir mengungkapkan rasa syukur mereka dengan cara lain. Mereka memakai pakaian yang indah, makan-makan dan bergembira. Al-Makrizi, ahli sejarah Islam, dalam At-Khuthath, jilid 1, hlm. 490, menulis, 'Dinasti Fathimiyyah di Mesir menjadikan Asyura sebagai hari dukacita (untuk mengenang kematian Saidina Husein di Karbala)... Ketika raja-raja Bani Ayyub merebut Mesir, mereka menjadikan hari itu hari gembira... melanjutkan tradisi orang-orang Syam yang dirintis Al-Hajjaj pada zaman Abd al-Malik ibn Marwan.
Tujuan utamanya adalah mempermalukan pengikut Ali bin Abi Talib yang menjadikan Asyura sebagai hari dukacita. Al-Hajjaj adalah tonggak besar dinasti Umayyah. Dia melakukan strategi kekerasan dalam menumpas pengikut Ali - lawan politik Bani Umayyah - secara fizikal. Di samping itu, dia melakukan penyelewengan fakta untuk membasmi Saidina Ali secara intelektual. Bermula sejak kekuasaan Muawiyah, pengetahuan umum diarahkan untuk membenci Ali dan mencintai penguasanya. Pendapat yang berbeza dibanteras. Pendapat yang sesuai dengan selera elit-penguasa disebarluaskan. Para khatib disuruh mengutuk Ali di mimbar-mimbar Jumaat. Hadis-hadis tentang keutamaan Ali dilarang daripada diriwayatkan. Hadis-hadis buatan yang mengecam Ali digalakkan.
Begitu pula, ajaran Islam yang dijadikan syiar pengikut Ali dibid’ahkan atau dicarikan tandingannya. Lalu, di Karbala terjadilah pembantaian keluarga Ali bin Abi Thalib pada 10 Muharram 61H oleh Bani Umayyah. Husein bin Ali dibunuh dengan cara yang sangat kejam. Asyura ertinya - sepuluh - bermakna hari terbunuhnya Husein dan sekaligus hari kemenangan Bani Umayyah. Para pengikut Ali tentu sahaja menjadikan hari itu hari berkabung, hari terbunuhnya cucu Rasulullah, dan hari syahidnya seorang pejuang keadilan.
Setiap kali Asyura mereka mengenangkan peristiwa itu dan merintih penuh nestapa. “Bagi kami, setiap hari adalah Asyura dan setiap tempat adalah Karbala,” teriak mereka. Laungan teriakan itu terdengar lagi ketika para pengikut Ali menumbangkan kekuasaan Syah Moden pada akhir 1978. Oleh kerana itu, Asyura menjadi lambang yang mengancam para elit-penguasa. Al-Hajjaj menetapkan Asyura sebagai hari gembira dan hari bersyukur. Kerana ‘might is right’ (kekuasaan itulah yang benar) maka yang kalah tentu sahaja salah. Justifikasi keagamaan harus dibuat. Lahirlah hadis-hadis yang menyatakan Asyura sebagai hari kemenangan para Nabi dan kekalahan orang zalim. Seperti kata sebahagian ulama, kita harus bersyukur dengan berpuasa pada hari itu. Akhirnya, kita terpaksa bertanya, “Tidakkah sebahagian yang kita anggap ajaran agama itu sebenarnya hasil rekaan politik sepanjang sejarah?” Nampaknya, agama juga ternyata tidak terlepas daripada politik.
Sumber : http://taufiq111.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
salam dari kak e... thanks... banyak maklumat di sini :
salam ehe.. thx sbb ziarah (^__^)
Post a Comment