Friday, February 22, 2008

PAS pertaruh 13 calon wanita, 1 bukan Islam

Sumber : http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?
name=News&file=print&sid=6690

PAS pertaruh 13 calon wanita, 1 bukan Islam
Thursday, February 21 @ 20:51:37 MYT

Oleh malaysiakini


PAS meletakkan 13 calon wanita - empat kerusi parlimen dan sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum nanti, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Seorang daripada mereka, Kumutha Rahman, calon bukan Islam dari Kelab Penyokong PAS bertanding di DUN Tiram, Johor atas tiket PKR.

Calon istimewa PAS ini, seorang graduan undang-undang berusia 29 tahun, diumumkan di Batu Pahat hari ini.

Lima daripada kumpulan calon wanita itu merupakan doktor perubatan, kata Abdul Hadi.

Tambahnya, 13 orang itu sebahagian kecil daripada 65 kerusi parlimen dan 230 kerusi DUN yang ditandingi PAS.

Sebanyak 222 kerusi parlimen dan 576 kerusi DUN untuk direbut dalam pilihanraya 8 Mac ini.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Terengganu itu tidak menyebut jumlah calon dari Dewan Pemuda PAS.

"Separuh daripada calon PAS merupakan muka baru dengan mempunyai pelbagai latar belakang mengikut keperluan pengundi setempat.

"Mereka adalah gandingan muka baru dan lama; di mana muka lama akan membimbing orang baru," katanya selepas melancarkan manifesto parti itu di pejabat agung PAS di ibu negara hari ini.

Selain manifesto bertema 'Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Negara Berkebajikan', Abdul Hadi turut melancarkan laman web parti itu khusus untuk pilihanraya kali ini di alamat pru12.pas.org.my .

Manifesto lengkap dan senarai calon-calon PAS di semua peringkat boleh diperolehi di laman web tersebut. Bagaimanapun senarai itu hanya dimuat pada hari penamaan calon Ahad ini.

Abdul Hadi berkata, selain mahu menafikan majoriti dua pertiga BN, parti itu juga mahu mengambil alih peranan Umno, bagi mengubah lanskap politik negara khususnya di kalangan orang Melayu.

Abdul Hadi berkata, PAS mahu menang dalam pilihanraya umum dengan kekuatan sendiri dan bukannya kerana kelemahan Umno.

Katanya, di beberapa negeri seperti Kedah, Perak dan Pulau Pinang, undi bukan Melayu akan menjadi penentu kepada kemenangan calon PAS.

"Dengan itu kita berharap berlaku perubahan dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan mereka bersedia mengundi PAS," katanya.

Melalui manifesto itu, tawaran PAS dalam pilihanraya umum kali ini antaranya:

- Menghapuskan tol, dengan kerajaan membeli dan memiliki kembali lebuhraya daripada pemilik konsesi.

- Menubuhkan segera Suruhanjaya Bebas Salah Laku Polis dan Komplen (IPCMC) dan menolak rang undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) yang kini masih di peringkat perbahasan.

- Mencadangkan pelepasan cukai untuk individu dinaikkan kepada RM12,000 setahun (kini RM80,000).

- Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan cuti kebapaan tujuh hari tanpa had bilangan anak.

- Cuti ehsan 14 hari untuk mereka yang kematian pasangan.

- Membantu nelayan pantai agar setiap pendapatan melebihi RM1,200 sebulan.

No comments: